Anda suka lawat blog ini?

Teman Bicara Hatiku

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

30 October 2009

Kisah Moden Penuh Teladan...

Bismillahirrahmanirrahim...

3 hari lepas aku ada terima email dr kak Syib (senior master di UMT)...email nie membuatkan aku baca berulang kali..coz penuh dengan teladan (sesuai la dgn title ..Kisah Moden Penuh Teladan)..dan aku nak kongsi cerita dgn pengunjung2 blog nie..

Kisah 1

Ketika belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, Salleh (bukan nama sebenar) telah bertemu jodoh dengan isterinya Siti Rahmah (bukan nama sebenar). Salleh mengambil jurusan kejuruteraan manakala Siti Rahmah mengambil bidang perakaunan. Sekarang mereka telah 15 tahun berkahwin dan dikurniakan Allah dengan 7 orang anak. Beberapa bulan yang lepas saya berkunjung ke rumah Salleh di Kajang. Kebetulan pada pagi Ahad itu selepas Solat Subuh di Masjid Kajang saya bertemu dengan Salleh. Dia terus mengajak saya ke rumahnya. Dia menyewa rumah teres setingkat tidak jauh dengan masjid.

Saya mengenalinya sejak hampir 10 tahun yang lalu. Pagi itu tidak sedar kami telah berbual-bual hampir lima jam. Saya ingin berkongsi tentang keluarga Salleh ini yang pada saya satu contoh keluarga yang mendapat keberkatan Allah.

1. Salleh bekerja makan gaji Dan pendapatan bersihnya sebulan kurang dari RM3000.
2. Isterinya adalah anak sulung, walaupun berkelulusan ijazah namun menjadi suri rumah sepenuh masa atas kehendak Salleh. Sebagai penghargaan kerana isterinya sanggup tidak bekerja, Salleh memberikan RM300 sebulan kepada Ibu-bapa mertuanya setiap bulan.
3. Di samping itu Salleh juga memberi kepada ibunya di kampung RM200 sebulan. Bapa Salleh telah meninggal dunia.
4. Dia memiliki Toyota Unser dengan ansuran RM500 sebulan.
5. Dia membayar rumah sewa RM400 sebulan.
6. Di rumahnya serba lengkap dengan perabot (TV, peti sejuk, mesin basuh, set sofa) serta teratur dan kemas.
7. Pelik tetapi benar, bil elektrik di rumahnya kurang dari RM20 sebulan. Sedangkan jirannya tidak pernah kurang dari RM60. TNB dah buat pemeriksaan bahawa meter di rumahnya tidak rosak. Begitu juga dengan bil air kurang dari RM10 sebulan..
8. Empat orang anaknya dihantar ke sekolah agama integrasi.
9. Bayangkan dia boleh hidup dengan selesa walaupun gajinya kecil jika di nisbahkan dengan keluarganya yang agak besar.

Sejak berkawan dengannya ada beberapa perkara yang saya lihat jadi amalan dia yang patut di contohi;

1. Solat Duha menjadi amalan hariannya walaupun ketika pergi outstation.

2. Solat Istikharah menjadi suatu amalan walaupun nak membeli benda yang kecil seperti nak membeli mesin basuh.

3. Sering membaca Surah Al-Waqiah.

4. Tidak terlibat langsung dengan sistem Riba. Dia menggunakan kredit kad Bank Islam.. Pinjaman kereta pun menggunakan sistem pinjaman Islam.

5. Buat baik kepada ibu bapa dan ibu bapa mertuanya.

6. Suka menolong orang dan memberi derma.

7. Semua anak-anaknya mempunyai akhlak yang baik dan jarang kena sebarang penyakit.

8. Dia dah empat tahun menggunakan Toyota Unser, sekali pun tidak pernah rosak atau menyusahkannya.

9. Segala masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat.


Kisah 2

Ketika saya bujang dahulu saya sering menziarahi kawan saya, Norizam (bukan Nama sebenar) yang tinggal di Masai Johor. Pada hari Ahad itu saya sampai di rumah Norizam selepas waktu Asar. Norizam memperkenalkan Abang dia, Rashid (bukan nama sebenar) yang baru sampai dari Kuala Lumpur . Rashid Berkunjung ke rumah Norizam kerana untuk menghadiri temuduga pada pagi Isnin di Johor Baru.

Kawan saya Norizam ini, dalam beberapa hal dia tidak berpuas hati dengan abangnya. Kadang kala saya tidak suka mendengar dia merungut tentang abangnya. Petang itu Norizam merungut lagi iaitu abangnya datang untuk temuduga kerja sebagai Pengurus Besar (General Manager). Gaji Rashid sekarang ialah RM10,000 sebulan. Katanya tidak mencukupi. Dia akan minta gaji sebanyak RM14,000 sebulan untuk tempat baru ini.

Saya pun berasa hairan gaji RM10,000 sebulan tidak mencukupi sedangkan hanya mempunyai dua orang anak sahaja. Beberapa tahun kemudian baru saya tahu kenapa gaji abangnya RM10,000 tidak mencukupi.. Ini ada kaitan dengan tiada keberkatan hidup.

Perkara-perkara yang pada pandangan saya menyebabkan Rashid jadi susah ialah seperti berikut;

1. Banyak sangat terlibat dengan sistem Riba . Pinjaman kereta, kad kredit, pinjaman rumah, akaun simpanan semuanya sistem konvensional (Riba).

2. Menggunakan banyak kad kredit konvensional kemudian bayar pokok sahaja. Bermakna memakan riba yang berterusan.

3. Sering bertukar kereta sebab kereta selalu bermasalah walaupun kereta baru (Masalah kena curi dan kemalangan jalan raya).

4. Sering bertengkar dengan isteri.

5. Isteri sering masuk hospital kerana penyakit misteri.

6. Anak perempuan sulungnya yang di tingkatan tiga kena tangkap basah.

7. Suka menengking jika ada orang mintak derma.

8. Soal sembahyang lima waktu dipandang sebelah mata sahaja.


Kedua-dua kisah ini adalah sesuatu yang lumrah berlaku di sekeliling Kita. Kadang kala Kita tidak sedar langsung atau tidak menghiraukan langsung Untuk mencari keberkatan hidup.


Kisah 3

Saya hanya nak sampaikan sebuah cerita yang saya dapat, yang membuatkan hati saya amat tersentuh. Cerita ini saya dapati selepas menghadiri sebuah usrah umum di tempat saya baru-baru ini. Ustazah yang menceritakan ini sekarang mengajar di KISAS.

Ceritanya begini...

Suatu hari, seorang ustazah travel, Dia singgah di rumah seorang sahabatnya yang mana pasangan suami isteri tersebut adalah guru biasa. Si suami seorang guru penolong kanan. Beliau tiba di rumah sahabatnya ini sekitar tengahari tapi belum zohor. Kedua-dua suami isteri ini masih di sekolah.

Walau bagaimanapun beberapa orang dari 8 orang anak mereka yang ke semuanya lelaki yang mana yang paling tua dalam tingkatan satu & yang paling muda masih bayi sudah pun pulang dari sekolah. Waktu zohor masuk, abang yang tua mengajak semua adik-adiknya yang baru pulang untuk solat berjemaah dengan dia sendiri sebagai imam.


Sewaktu dalam rakaat kedua, salah seorang adiknya yang berumur lingkungan 8 tahun pulang. Tanpa bertangguh tatkala melihat jemaah yang sedang solat, dia mengambil wudhu' dan solat bersama jemaah, ia ikut ruku' apabila imam ruku'. Dia ikut sujud apabila imam sujud. Dan selesai imam memberi salam,dia bangun menyelesaikan satu rakaat solatnya yang tertinggal.

Subhanallah...adik yang berumur 8 tahun ini sudah pandai masbuk...ustazah yang melihat terkejut dan kami yang mendengar mengucap memuji ALLAH. Bayangkan betapa taatnya anak-anak yang masih kecil ini menunaikan perintah ALLAH tanpa pengawasan kedua orang tua mereka atau mana-mana orang dewasa dan tanpa disuruh-suruh. Cerita tak berakhir di situ.


Ustazah bermalam di rumah sahabatnya itu. Apabila subuh, ustazah menyangka dialah yang paling awal bangun kerana dia bangun selesai sahaja azan subuh berkumandang kalau saya tak lupa. Takjubnya dia apabila ke bilik air dilihatnya anak-anak kecil sedang sibuk ambil wudhu'.

Bayangkan 7 orang budak lelaki dengan yang paling tua berumur 13 tahun dan yang ke tujuh ntah berapa tahun sibuk mengambil wudhu' di bilik air di waktu subuh paling awal. Si ayah menunggu anak-anaknya di tikar sembahyang dengan sabar sambil berzikir.


Mereka solat jemaah sekeluarga (termasuk ustazah). Sewaktu hendak mula solat, si ibu meletakkan anak bongsunya yang masih bayi (yang sedang jaga) di sisinya. Ajaibnya anak ini tidak menangis mengganggu jemaah sepanjang mereka solat. Dan sekali lagi cerita tak berakhir di situ.

Ustazah tersebut ingatkan hendak sambung tidur kerana penat travel semalamnya tak surut lagi. Alangkah terkejutnya dia apabila hendak melipat sejadah, si ayah berpusing menghadap jemaah sambil berkata, "Anak-anak... hari ni ayah nak beri kuliah mengenai solat dan puasa... ". Dan 8 orang anak termasuk si ibu dengan tekun mendengar kuliah subuh yang disampaikan.

Subhanallah...bila ditanya kepada si ibu mengapa didikan sedemikian diberi kepada anak-anaknya? Dia menjawab bahawa itu persediaan dia dan suaminya sebelum mati. Mereka berharap agar anak-anak lelakinya yang 8 orang itu dapat membacakan sekurang-kurangnya fatihah untuk mereka jika ditakdirkan mereka pergi dulu.. Lagipun anak-anak mereka semuanya lelaki...Pasangan suami isteri ini tak sanggup melihat anak-anak mereka terabai tanpa pedoman... cuba kita tanya diri kita sendiri...


-Berapa ramai keluarga Islam hari ini yang dapat mengamalkan solat jemaah dalam keluarga ???
-Berapa ramai anak-anak Islam berumur 8 tahun yang pandai solat masbuk???
-Berapa ramai anak-anak berumur 13 tahun yang pandai mengimami solat memimpin adik-adik mereka ???
-Berapa ramai ibubapa yang berjaya mendidik anak-anak mereka sedemikian rupa yang taat melaksanakan perintah ALLAH tanpa suruhan dan pengawasan mereka yang lebih dewasa ???



Subhanallah...Alhamdulillah...Moga apa yang saya sampaikan ini menjadi pedoman dan iktibar buat kita semua...

No comments:

Post a Comment

HEALTHY R US

HEALTHY R US
Saya suka jenguk blog nie...Jom la jenguk...

SENTIASA UNIK BERSAMA UNIC

SEKALI INTIM TERUS INTEAM